Kehidupan Adam, Hawa di bumi

MAKA diperdaya kedua-duanya oleh syaitan sehingga dikeluarkan mereka daripada kesenangan yang didapati. Kami berkata: “Berangkatlah kamu sekelian! Antara kamu dengan yang lain bermusuh-musuhan. Dan bagi kamu tempat kediaman di atas bumi. Di sanalah tempat kesenanganmu sehingga mati. (al-Baqarah: 36)

NABI Adam dan isterinya Hawa sangat sedih dengan keadaan mereka di bumi, kerana kehidupan di bumi sangat berbeza dengan di syurga. Di syurga terdapat bermacam-macam buah-buahan dengan pelbagai bentuk dan warna, di samping rasanya yang enak dan lazat. Baunya juga sungguh harum dan membuka selera.

Sedangkan di bumi, tidak semua buah-buahan boleh dimakan. Ada yang pahit, masin, masam, tawar, dan ada pula yang enak, manis serta lazat. Begitu juga dengan air yang hendak diminum, bukan semuanya boleh diminum.

Tahulah Nabi Adam dan isterinya bahawa kehidupan di bumi ini setiap saat atau detik penuh dengan perjuangan. Setiap saat mereka harus memeras otak, tenaga dan keringat demi untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah yang terbentang luas ini.

Begitulah keadaan Adam dan Hawa setiap hari. Apabila berasa lapar, terpaksalah mereka keluar mencari air dan buah-buahan di dalam hutan.

Perasaan takut terhadap binatang buas yang sentiasa mengancam mereka, terpaksa dihadapi dengan semangat yang kuat. Akan tetapi, segala penderitaan seperti rasa dahaga, lapar, bahaya binatang buas dan lain-lain telah menggerakkan akal dan fikiran Adam dan Hawa tentang cara bagaimana mereka dapat melepaskan diri daripada penderitaan-penderitaan itu.

Dengan akal yang dikurniakan oleh Allah itu, timbullah di fikiran mereka untuk menanam pokok buah-buahan yang lazat dan enak rasanya di sekitar gua, tempat tinggal mereka.

Tujuannya untuk menghindarkan diri daripada bahaya binatang-binatang buas di dalam hutan ketika mereka keluar mencari buah-buah hutan untuk dimakan.

Dengan menggunakan dahan-dahan kayu, Adam dan Hawa pun menebas pokok-pokok dan rumput-rumput di sekitar gua itu. Kawasan di sekitar gua itu dilapangkan untuk menanam pokok buah-buahan yang boleh dimakan.

Baginda pun memerah tenaga dan kudratnya menanam biji-biji buah yang dimakan, sambil dibantu oleh isterinya, Hawa. Selain itu, baginda juga memelihara ternakan-ternakan seperti ayam, kambing dan sebagainya yang ditemui di dalam hutan tersebut.

Begitulah keadaan Adam dan Hawa setiap hari. Mereka bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan sehinggalah mereka menjadi pandai. Hasil tanaman itu dapatlah menampung kehidupan mereka di dalam gua itu.

*Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Surah al-Falaq dan an-Nas elak sihir

Sakit adalah sifat manusia, baginda juga mengalami luka yang banyak dalam peperangan Badar dan banyak lagi yang baginda lalui ummat ini, lebih-lebih lagi di awal perkembangan nur Islam.

Maksum berasal dari bahasa arab, juga telah dimelayukan. Dalam bahasa arab ia membawa makna terpelihara dari melakukan dosa kecil mahupun dosa besar serta kesalahan-kesalahan yang boleh mencemar keperibadian seseorang.

Maksumnya Rasulullah SAW bererti: baginda terpelihara dari melakukan sesuatu perbuatan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta apa-apa kesalahan yang boleh mencemar keperibadian baginda.

Mengikut kamus Dewan maksum bermaksud: “terpelihara atau bebas dari dosa, tidak tercela, tidak berdosa”. (Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP, hlm: 985).

Mengikut takrifan al-Jurjani al-‘ismah maksud bermaksud: “Kemampuan menjauhi perbuatan maksiat sedang dia mampu melakukannya”. (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, hlm: 195)

Di dalam kebanyakan kitab-kitab akidah ahlu sunnah wal jamaah para ulama berpendapat bahawa baginda Rasulullah SAW terpelihara daripada dosa besar dan dosa kecil serta apa-apa kelakuan yang boleh mencacatkan keperibadian baginda.

Menurut Sheikh Ja’far Subhani bahawa Nabi yang maksum mampu melakukan kemaksiatan dan dosa, sesuai dengan kemampuan dan kemerdekaan yang ada pada baginda tetapi kerana baginda telah mencapai peringkat takwa yang tinggi, ilmu yang qatie terhadap akibat dosa dan kemaksiatan serta kerana pengaruh timbulnya perasaan mengagungkan Khaliqnya.

Dengan demikian ia terpelihara dari perbuatan itu, dan ia tidak melakukan perbuatan walaupun dengan kemampuan dan kekuasaannya sendiri.

Adapun persoalan mengenai Baginda SAW terkena sihir tidak mencacatkan keterpeliharaan Baginda, juga tidak mencacatkan ‘ismah Baginda sebagai seorang rasul.

Perkara ini banyak dibincangkan oleh ulama. Ada di antara mereka yang tidak menyetujui baginda terkena sihir. Antaranya ialah Abu Bakr al-Asham, pengarang al-Ta’wilat.

Pak Hamka juga tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan baginda terkena sihir kerana beberapa sebab berikut, pertamanya; seolah-olah merendahkan martabat nubuwwah (kenabian). Keduanya; menimbulkan keraguan dalam syariat yang ketiganya; sihir itu pada hakikatnya tidak ada.

Ada juga yang berhujah bagi menolak baginda disihir kerana martabat hadis ini Ahad. Antaranya ialah Al-Qasimi di dalam Mahasinul ta’wil, Sayyid Qutub di dalam Fi Zilal al-Quran.

Tujuan mereka menolak adalah kerana tidak mahu baginda Rasulullah SAW dilihat ada tempoh baginda terganggu daripada segi akal.

Ini kerana ketika baginda terkena sihir baginda teragak-agak melakukan sesuatu dan sering bertanya kepada Aisyah r.a mengenai perkara yang baginda kerjakan.

Adapun sebahagian jumhur ulama berpendapat, baginda pernah terkena sihir. Ini kerana mereka tidak berganjak daripada berpegang kepada hadis yang sahih biarpun martabatnya Ahad. Surah al-Falaq adalah bukti baginda pernah terkena sihir.

Dalam riwayat yang dimuatkan oleh Imam Ibn Kathir, daripada Aisyah r.a, pada suatu hari baginda berkata kepada Aisyah: “Hai Aisyah! Aku diberi perasaan bahawa Allah memberi fatwa kepadaku pada perkara yang aku meminta fatwa dari-Nya; maka datanglah dua malaikat yang seorang duduk di sisi kepalaku dan yang seorang lagi duduk di sisi kakiku: “Lelaki ini (Rasulullah SAW) telah disihir! Kawannya bertanya: “Siapa yang menyihirnya?” Malaikat yang duduk di kepala menjawab: “Labid bin ‘Asam”. Kawannya bertanya lagi dengan apa? Malaikat yang di kepala menjawab: “Pada himpunan rambut dan sikat yang patah dan penutup kepala lelaki (kain serban), dihimpit dengan batu di dalam perigi Dzu Auran. Dalam sesetengah riwayat baginda sendiri masuk ke dalam perigi itu dan mengeluarkannya”.

Dalam riwayat yang lain baginda meminta beberapa orang sahabat agar mengeluarkannya. Dalam riwayat Ibn Abbas, bahawa Rasulullah SAW menyuruh Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam serta Ammar bin Yasir memeriksa sumur tersebut.

Setelah dibuang airnya dan menyelam ke dalam mereka dapati menang benar terdapat bungkusan kain yang terkandung di dalamnya gumpalan rambut dan sikat baginda berserta sepotong kayu yang terikat tali padanya dengan sebelas ikatan dan pada setiap ikatan ada tusukan jarum. Kemudian turunlah surah ini yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad); Aku berlindung kepada (Allah) dari cuaca subuh. Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. “Daripada bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. “Dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk. “Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. (al-Falaq: 1-5 ).

Sebanyak 11 simpulan itu terungkai setelah malaikat mengajar baginda membaca dua surah al-Falaq mengandungi lima ayat dan surah al-Nas mengandungi enam ayat.

Selesai membaca kedua-dua surah ini baginda terasa lega dan lapang kembali. Sehingga hari ini dalam ilmu perubatan Islam kedua surah ini menjadi senjata bagi menyembuhkan gangguan sihir.

Manusia di hisab di akhirat

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Apabila langit terbelah. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu. (al-Infitar: 1-8)

Mukadimah

Surah al-Infitar termasuk dalam kategori Surah Makkiah, ia berjumlah 19 ayat dan diturunkan selepas surah al-Nazi'at. Persamaan surah ini dengan surah al-Takwir.

Firman Allah SWT: Apabila langit terbelah. Al-Maraghi berkata: Ketika langit terbelah dan susunan planet-planetnya berubah, maka tidak ada lagi bintang yang beredar pada orbitnya sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan.

Syed Qutb berkata: Andainya bintang-bintang itu gugur dan terlepas daripada ikatan peraturan yang selama ini mengikat dan memelihara perjalanannya, sebagaimana yang akan berlaku pada hari kiamat yang menamatkan ajalnya, maka ia akan hancur lebur di angkasa raya sebagaimana hancurnya atom yang terlepas daripada ikatannya.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Ibn Abbas r.a berkata: Allah SWT menghamburkan air di lautan ke atas sebahagian yang lainnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. Ibn Abbas r.a berkata: Iaitu dikeluarkan dan al-Suddi berkata: Perkuburan itu bertaburan dan bergerak sehingga keluarlah orang yang ada di dalamnya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Al-Maraghi berkata: Ayat ini mendorong agar melakukan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.

Firman Allah SWT: Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?

Syed Qutub berkata: Inilah kecaman secara langsung dari Allah SWT. Dia memanggil manusia, lalu berdiri di depan-Nya sebagai seorang yang cuai, berdosa, terpedaya, tidak menghargai kebesaran Allah SWT dan tidak beradab sopan terhadap-Nya.

Kemudian Allah SWT mengingatkan nikmat-Nya yang agung, kemudian mengingatkan kecuaian manusia, kebiadapannya dan kekeliruan dan keterpedayaannya.

Firman Allah SWT: Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menyebut zat-Nya dengan karim (pemurah), bukan qahhar (pemaksa), sebab sifat pemurah itu tidak layak menjadikan manusia membiarkan dirinya digoda oleh syaitan.

Sebagai contoh pernyataan: Kerjalah semahumu kerana Tuhanmu Maha Pemurah. Dia telah bermurah hati kepadamu di dunia dan akan berbuat begitu di akhirat.

Namun, maksud yang tepat untuk pengertian ini adalah untuk menyatakan kesungguhan dalam menerima cahaya keimanan dan ketaatan para hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu.

Ikrimah berkata: Jika berkehendak, Dia akan menciptakan dalam bentuk kera, dan jika mahu Dia akan menciptakan dalam bentuk babi.

Penutup

Dalam penutup ini suka dinyatakan sedikit pendapat Syed Qutub berkenaan dengan manusia, antara lain katanya: Katakanlah segala apa yang ditanggap itu sampai ke otak melalui alat-alat saraf yang seni itu, tetapi di manakah hendak disimpankan semua hasil tanggapan itu?

Andainya otak itu sebagai tali pita rakaman nescaya manusia memerlukan selama umur hidupnya, purata 60 tahun kepada ribuan juta meter pita tersebut untuk merakam sekian banyak gambaran, kata-kata, makna perasaan dan kesan-kesannya untuk diingatkan kembali setelah melalui masa puluhan tahun.

Kemudian bagaimana otak itu menyusun di antara kata-kata, makna, peristiwa dan gambaran yang tunggal untuk menjadikannya satu budaya yang terkumpul.

Seterusnya meningkatkannya daripada maklumat kepada ilmu seterusnya tanggapan kepada kefahaman dan pengalaman kepada pengetahuan.

Inilah salah satu ciri manusia yang membezakannya daripada makhluk yang lain. Yang lebih daripada ciri ini adalah roh yang dikurniakan Allah SWT, iaitu roh manusia khusus untuknya yang menghubungkan dengan keindahan alam oleh Pencipta-Nya.

Itulah roh yang memberikan kepada manusia detik yang gemilang menghubungkan dengan zat yang mutlak tidak terbatas setelah berhubung dengan pancaran keindahan alam ini.

Begitulah roh yang tidak diketahui oleh manusia. Itulah roh yang memberi nikmat kesukaan dan kebahagiaan yang tinggi walaupun ia berada di bumi dan menghubungkannya dengan alam al-Malaul a'la dan menyediakannya untuk hidup di dalam syurga yang kekal abadi.

Henti kekejaman Israel

Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia mengecam kekejaman dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau serta biadap tentera rejim Zionis Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana menyerang konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei tanpa alasan di perairan antarabangsa.

Perdana Menteri, berkata serangan tidak berperikemanusiaan itu melanggar norma perundangan antarabangsa dan tata kelakuan bertamadun kerana ketika serangan, kapal Mavi Marmara berada di kedudukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza.
Beliau berkata, tiada sebarang alasan untuk tentera Israel bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.
"Jika perbuatan sama dilakukan negara lain, tentunya negara berkenaan akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini membuktikan sikap berat sebelah Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan amanah.

Malaysia juga mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim itu mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertamadun kerana selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematu-han nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya," katanya ketika membentangkan usul mengutuk serangan tentera Israel, pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri berkata, kezaliman rejim Zionis akan berterusan, malah Israel akan bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan hingga rakyat Palestin terbelenggu jika masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri.

Beliau berkata, walaupun kecewa atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras terhadap rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang menderita sejak lebih 60 tahun lalu.
Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin merdeka, berdaulat, kendiri ekonomi dapat dibangunkan. Saya juga menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika lawatan beliau ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, selaras usaha membawa kes kekejaman tentera Israel ke mahkamah antarabangsa, Malaysia akan mendesak rejim Zionis membayar ganti rugi serta pampasan semua harta benda, makanan, alat binaan dan perubatan, termasuk kapal yang ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang dirampas secara haram.

Israel juga perlu membayar ganti rugi akibat kesan trauma psikologi, mental dan fizikal serta sebarang pampasan yang difikirkan layak oleh mahkamah antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan sokongan terha-dap penubuhan suruhan-
jaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden itu, termasuk pemilihan bekas Perdana Menteri New Zealand, Sir Geoffrey Palmer mengetuai siasatan itu.

Najib juga berkata, beliau mendengar sendiri pengalaman 12 rakyat Malaysia yang terbabit dalam detik cemas serangan Israel apabila mereka turut didera secara mental ketika dalam tahanan.

Haid tidak teratur boleh hamil




Sebenarnya wanita yang mengalami kitaran haid yang tidak menentu memang dikaitkan dengan keadaan ovulasinya yang tidak teratur atau ketiadaan ovulasi. Bagaimanapun, ada di kalangan wanita yang mengalami haid yang tidak teratur tetapi berupaya hamil dengan spontan tanpa bantuan perubatan.

Kebiasaannya, anggapan masalah ketidaksuburan terhadap seseorang wanita itu berlaku apabila dia sudah berkahwin dan melakukan hubungan seksual yang biasa (yakni sekurang-kurangnya empat atau empat kali seminggu tanpa halangan - kondom dan sebagainya) selama setahun tetapi tidak hamil.

Rawatan kesuburan harus dilakukan setelah pasangan menjalankan beberapa siasatan perubatan tertentu iaitu:

* HSA (husband seminal analysis): analisis air mani suami - melihat kualiti dan kuantiti sperma suami secara mikroskopik
* Ujian hormon wanita - FSH (follicle stimulating hormone), LH (luthenising hormone) dan Prolaktin. Keseimbangan hormon FSH:LH menunjukkan sama ada terdapat rangsangan atau tiada ovulasi terhadap ovari. Tahap Prolaktin tinggi menandakan rangsangan daripada kelenjar pituitari yang boleh menyebabkan kitaran haid tidak teratur.
* Ujian hormon progresteron ini akan dirembeskan pada hari ke 21 yang menandakan sama ada wanita telah mengeluarkan telur.
* Adakala dilakukan juga ujian hormon tiroid, MGTT (mod glucose tolerance test) untuk memastikan tiada masalah tiroid atau kencing manis.

Ubat kesuburan tidak harus diberi kepada pesakit tanpa rawatan susulan kerana pada hari kitaran haid ke 10 hingga 12, harus dilihat sama ada kilang ovari terangsang. Pengambilan ubatan jenis 'clomiphene' boleh menyebabkan rangsangan yang terlebih (hyperstimulation) sehingga boleh menyebabkan komplikasi kepada pesakit.

Pengambilan clomiphene tanpa pengawasan dalam jangka masa yang lama juga akan meninggikan risiko barah ovari terhadap pengambilan clomiphene. Oleh itu, dinasihatkan wanita yang baru berumahtangga supaya mencuba secara biasa terlebih dulu untuk hamil. Jika terdapat tanda-tanda awal mengandung seperti mual, muntah, kesakitan pada payu dara, berjumpalah doktor untuk ujian air kencing menentukan hamil (UPT - urine pregnancy test) dan imbasan ultrasound.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah