Sultan Johor mangkat

Sultan Johor, Sultan Iskandar Al-Marhum Sultan Ismail mangkat di Hospital Pakar Puteri, jam 7.15 malam tadi (22/01/2010).

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar, sebentar tadi.

Jenazah Al-Marhum Sultan Iskandar akan disemayamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah jam 2 petang esok

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang dilantik Pemangku Raja petang tadi, akan dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada jam 1 petang di Istana Besar esok (23/01/2010).

Esok juga diisytiharkan cuti umum untuk seluruh negeri dan Johor akan berkabung selama tujuh hari.



Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya.

Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan.

Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.

Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda adalah juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Baginda adalah Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885.

Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin.

Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Baginda adalah seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan.

Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil.

Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang membabitkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu.

Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden.

Al-Fatihah...

Pesan roh kepada manusia hidup

APABILA roh keluar daripada jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya, kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata:

"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan, sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh daripada tubuh".


Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". Selepas dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengkafan kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai hari kiamat.


Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka.


“Sesungguhnya pada hari ini aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya.” Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.


Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikanaku.


"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku."

Posted by ShoZu

Peguam Syarie Menulis: Semua negeri patut warta fatwa merokok haram

Hanya Kedah, Selangor iktiraf muzakarah ulama 1995 anggap perokok pesalah syariah

MULAI 1 Januari lalu, kerajaan menetapkan harga minimum bagi rokok, iaitu RM6.40 bagi 20 batang, atau RM0.32 sen bagi setiap batang rokok, apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Langkah itu disambut baik kerana dapat menghindari golongan muda terutama pelajar membeli rokok. Sesetengah berpendapat, harga rokok perlu dinaikkan lebih tinggi bagi membendung aktiviti merokok dikalangan masyarakat.

Merokok adalah proses memasukkan bahan beracun ke dalam tubuh secara sukarela oleh perokok. Tidak kurang daripada 3,800 jenis racun disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu menghisap sebatang merokok. Pada masa sama, tidak kurang juga yang mengeluh, sudah pastinya si perokok.

Isu mengenai bahaya rokok ini bukanlah satu perkara baru. Beberapa fatwa dikeluarkan sebelum ini oleh ulama Islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi'i dari Syria, dan ulama Makkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi.

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna daripada zahir ayat Al-Qur'an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan." Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.

Sabda Baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan saja memperuntukkan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud "Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.".

Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 157 yang bermaksud, "Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran)." Rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jemaah solat.

Sejak 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali Ke-37 memutuskan bahawa tabiat merokok adalah haram menurut pandangan Islam.

Akta, enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri memperuntukkan kenyataan Mufti tidak boleh dikatakan sebagai fatwa dan tidak akan menjadi undang-undang mengikat (binding) melainkan jika ia dikeluarkan melalui prosedur ditetapkan enakmen dan seterusnya disiarkan di dalam warta.

Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri. Di samping itu, tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa menerima fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

Perlanggaran terhadap fatwa yang diwartakan pemerintah negeri adalah kesalahan menurut undang-undang Jenayah Syariah. Semua negeri memperuntukkan hukuman kepada orang Islam yang melanggar fatwa, meskipun wujud perbezaan dari segi jumlah hukuman.

Pada 1997, tiga gadis Islam yang memasuki pertandingan Ratu Cantik di Petaling Jaya Selangor, didakwa atas kesalahan melanggar fatwa negeri Selangor yang menya takan adalah haram bagi wanita Islam menyertai sebarang jenis pertandingan Ratu Cantik (Pendakwa Syarie lwn. Fahyu Hanim Ahmad dll. (2000) JS 8(1),137).

Tahun lalu, lelaki yang mendakwa dirinya Rasul Melayu, Kahar Ahmad didakwa kerana menghina pihak berkuasa agama, menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang menyebutkan, "Mana-mana orang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan :- (a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam ; (b) Majlis (c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya."

Di Kedah, seseorang yang melanggar Perintah DYMM Tuanku Sultan boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 32, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 yang memperuntukkan bahawa "(1) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan boleh, sebagai Ketua Agama Negeri, mengeluarkan apa-apa perintah, dari semasa ke semasa, berkaitan dengan perkara khusus yang tidak bertentangan dengan Hukum Syarak: Dengan syarat bahawa perintah itu hendaklah berkuatkuasa pada tarikh ditetapkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta. (2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah di sub-seksyen (1) adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya."

Selangor sudah mewartakan fatwa pengharaman rokok pada tahun yang sama fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 dikeluarkan. Kedah turut mewartakannya pada tahun berikutnya. Maka orang yang menghisap rokok di negeri Selangor dan Kedah adalah pelaku jenayah Syariah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah kerana menghina pihak berkuasa agama, serupa dakwaan terhadap tiga peserta pertandingan ratu cantik dan Kahar Ahmad.

Sejak keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKBHEAI dikeluarkan pada 1995, hanya negeri Selangor dan Kedah mewartakan fatwa berkenaan. Apa sudah jadi dengan negeri-negeri lain? Adakah negeri lain tidak mengiktiraf fatwa peringkat kebangsaan yang dikeluarkan itu?

Jika ya, apakah fungsi dan peranan sebenar MKBHEAI yang ditubuhkan ketika Sidang Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 untuk memberi nasihat dan syor kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan, pentadbiran Agama Islam dan pelajaran Agama Islam, dengan tujuan mewujudkan penyelarasan yang berkesan dan seragam antara negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal orang Islam di negara ini tercapai. Di manakah integriti dan kewibawaan majlis di peringkat kebangsaan ini?

Fatwa rokok yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 15 tahun lalu itu perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Kita tidak dapat menerima alasan pihak yang melengahkan tindakan mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri, setelah lebih sedekad fatwa peringkat kebangsaan itu dikeluarkan. Kelengahan berterusan jika terus dibiarkan, boleh memberi gambaran buruk kepada imej Islam.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah