Kesan Bertungku .....



BERTUNGKU secara meletakkan bahan panas (sama ada batu yang dipanaskan kemudian dibalut kain atau pek air panas yang dibalut kain) ke atas kawasan abdomen dianggap sesetengah pihak bertujuan untuk mengecutkan rahim.

Bagaimanapun, sifat haba sebaliknya menyebabkan salur darah mengembang (termasuk salur darah di dalam rahim) dan boleh menjadikan pendarahan nifas bertambah banyak. Pada masa sama, ia melambatkan pengecutan rahim.

Pengembangan salur darah ini boleh diumpamakan seperti muka kita yang kemerahan akibat salur darah mengembang apabila berjemur di tengah panas untuk tempoh lama.

Pengecutan rahim adalah hasil kontraksi otot licin pada dinding rahim yang banyak bergantung kepada tindakan hormon oksitosin yang dikeluarkan kelenjar pituitari otak sewaktu penyusuan badan. Hormon ini juga ada terkandung dalam ubatan doktor bagi menangani pendarahan selepas bersalin. Apabila di rumah, wanita bergantung kepada oksitosin yang dirangsang refleks hisapan payudara sewaktu bayi menyusu. Lebih kerap dan banyak ibu ini menyusukan bayinya, lebih cepat rahimnya mengecut kepada saiz asal. Bagaimanapun, proses pengecutan rahim ini turut disertai kesakitan (seperti senggugut). Ini boleh dibantu dengan pengambilan pil penahan sakit. Lazimnya, rahim mengambil masa beberapa minggu sahaja untuk kembali kepada saiz asal. Mungkin satu 'kelebihan' bertungku adalah ia mengurangkan kesakitan kerana rahim tidak mengecut tetapi mengembang semula.

Doktor Adilah Ahmat
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan/IVF, Hospital Pantai Bangsar dan Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Kuala Lumpur

Anak Anda Berdengkur?



DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.

Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

Punca

Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:

# Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.

# Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.

# Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)

Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?

Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah ‘bangga’ kerana anak mereka ‘seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga’.

Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.


Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala ‘runtuh’ sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa ‘berjuang’ untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

Risiko apnea tidur

Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

Kesan berdengkur

Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.

Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

Rawatan

Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).

Pakar Kanak-kanak
(Dr.Syed Nazir Syed Kadir) Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya

Aida Aris sudah ada pengganti isi hati



SEPANJANG 18 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Aida Aris, 38, bekerja dengan ramai pengarah handalan dan berpengalaman berlakon dengan ramai pelakon yang menang pelbagai anugerah seni.

Kini, pelakon itu mahu membuktikan kemampuannya sebagai penerbit drama pula menerusi syarikat produksinya sendiri, Cintakasih Productions Sdn Bhd.

Dia akan menggunakan pengalamannya yang pernah membawakan pelbagai watak dalam drama dan filem lakonannya untuk duduk di kerusi penerbit pula. Ia juga sebagai persediaan masa depannya jika tidak diperlukan lagi dalam bidang lakonan.

Dalam diam, Cintakasih Productions sudah menerbitkan dua telefilem dan satu cerekarama. Telefilem pertama terbitannya, Tercipta Untukmu disiarkan di Astro Prima dan Suram Seri Pengantin mengisi slot cerekarama TV3.

Menerusi telefilem terbaru berjudul Melankolia, Aida memegang watak Rozita iaitu isteri kepada Eizlan Yusof yang mengalami tekanan mental apabila anak mereka diculik. Telefilem itu akan menemui penonton TV1, pada pertengahan Ogos ini.

Dia juga bakal ke lokasi drama seram arahan Ahmad Idham berjudul Durja Ningsun. Drama 13 episod itu terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd. Penggambaran drama itu bermula hari ini yang mengambil masa 35 hari, dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.

"Berlakon dalam drama seram memberi peluang kepada saya mengembangkan bakat dan belajar teknik baru di lokasi penggambaran. Saya tidak takut kerana pernah berlakon dalam drama seram sebelum ini," katanya.

Bercakap mengenai Cintakasih Production, katanya, dia akan berusaha mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jaminan masa depan. Semakin meningkat usia, banyak perkara yang difikirkannya termasuk mengenai kerjaya lakonannya sekarang. Entah berapa lama lagi dia akan berlakon.

"Sudah tiba masanya saya perlu menyediakan platform baru untuk mempelbagaikan cabang kerjaya. Sebab itu, saya cuba nasib menerbitkan drama pula. Pun begitu, antara berlakon dan menjadi penerbit cabarannya berbeza.

"Sebagai pelakon, saya tengok segalanya kelihatan mudah. Baca skrip, kemudian ke lokasi dan terima bayaran. Tidak perlu fikir mengenai perkara selanjutnya kerana kerja akhir adalah tanggungjawab pengarah dan penerbit.

"Bagaimanapun, apabila ada syarikat sendiri, baru saya tahu cabaran sebagai penerbit. Jika sebelum ini, saya tidak pernah ambil kisah kerenah pelakon lain di lokasi, sekarang saya kena tahu apa yang berlaku di lokasi. Apa jua masalah yang timbul saya kena selesaikan.

"Segala-galanya perlu dirancang dengan baik. Kesilapan penggambaran atau teknikal perlu dikurangkan untuk mengurangkan kos. Cabaran paling besar sudah tentu menepati kriteria ditetapkan stesen penyiaran. Setakat ini, saya masih belajar untuk mendalami lagi bidang penerbitan," katanya.

Tambah Aida, tawaran berlakon filem masih ada tetapi masanya tidak sesuai kerana selalu bertembung dengan jadual kerja lain.

Beralih kepada perkembangan lain, selepas percintaannya dengan Zul Handy Black berakhir, dia sudah mendapat pengganti untuk mengisi ruang hatinya yang sepi.

"Antara saya dengan Zul, kami membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan kami berpisah secara baik. Buat masa ini, saya baru mengenali hati budi seorang kenalan baru. Soal jodoh terserah pada Allah," katanya.

"Saya sentiasa harap lakonan saya semakin baik dari semasa ke semasa.

"Paling penting, saya dapat membantu menghasilkan drama berkualiti dan diterima baik masyarakat," katanya.

PROFIL

NAMA: Siti Rohaida Mat Aris
NAMA PENTAS: Aida Aris
TEMPAT LAHIR: Jurong, Singapura
KARIER: Pelakon/Produser
MINAT: Badminton dan Pool
PRODUKSI: Cintakasih Produtions Sdn Bhd
DRAMA
# Inai Malam
# Obsessi
# Mersing To Manchester
# Jangan Tegur
# Budak KL
# Awan Dania
TELEFILEM/CEREKARAMA
# Tercipta Untukmu
# Suram Seri Pengantin
FILEM
# Black Maria (2003)
# Kembara (1998)
# Suratan Kasih (1996)
# Debu-Debu Kasih (1995)

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah