Aida Aris sudah ada pengganti isi hati



SEPANJANG 18 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Aida Aris, 38, bekerja dengan ramai pengarah handalan dan berpengalaman berlakon dengan ramai pelakon yang menang pelbagai anugerah seni.

Kini, pelakon itu mahu membuktikan kemampuannya sebagai penerbit drama pula menerusi syarikat produksinya sendiri, Cintakasih Productions Sdn Bhd.

Dia akan menggunakan pengalamannya yang pernah membawakan pelbagai watak dalam drama dan filem lakonannya untuk duduk di kerusi penerbit pula. Ia juga sebagai persediaan masa depannya jika tidak diperlukan lagi dalam bidang lakonan.

Dalam diam, Cintakasih Productions sudah menerbitkan dua telefilem dan satu cerekarama. Telefilem pertama terbitannya, Tercipta Untukmu disiarkan di Astro Prima dan Suram Seri Pengantin mengisi slot cerekarama TV3.

Menerusi telefilem terbaru berjudul Melankolia, Aida memegang watak Rozita iaitu isteri kepada Eizlan Yusof yang mengalami tekanan mental apabila anak mereka diculik. Telefilem itu akan menemui penonton TV1, pada pertengahan Ogos ini.

Dia juga bakal ke lokasi drama seram arahan Ahmad Idham berjudul Durja Ningsun. Drama 13 episod itu terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd. Penggambaran drama itu bermula hari ini yang mengambil masa 35 hari, dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.

"Berlakon dalam drama seram memberi peluang kepada saya mengembangkan bakat dan belajar teknik baru di lokasi penggambaran. Saya tidak takut kerana pernah berlakon dalam drama seram sebelum ini," katanya.

Bercakap mengenai Cintakasih Production, katanya, dia akan berusaha mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jaminan masa depan. Semakin meningkat usia, banyak perkara yang difikirkannya termasuk mengenai kerjaya lakonannya sekarang. Entah berapa lama lagi dia akan berlakon.

"Sudah tiba masanya saya perlu menyediakan platform baru untuk mempelbagaikan cabang kerjaya. Sebab itu, saya cuba nasib menerbitkan drama pula. Pun begitu, antara berlakon dan menjadi penerbit cabarannya berbeza.

"Sebagai pelakon, saya tengok segalanya kelihatan mudah. Baca skrip, kemudian ke lokasi dan terima bayaran. Tidak perlu fikir mengenai perkara selanjutnya kerana kerja akhir adalah tanggungjawab pengarah dan penerbit.

"Bagaimanapun, apabila ada syarikat sendiri, baru saya tahu cabaran sebagai penerbit. Jika sebelum ini, saya tidak pernah ambil kisah kerenah pelakon lain di lokasi, sekarang saya kena tahu apa yang berlaku di lokasi. Apa jua masalah yang timbul saya kena selesaikan.

"Segala-galanya perlu dirancang dengan baik. Kesilapan penggambaran atau teknikal perlu dikurangkan untuk mengurangkan kos. Cabaran paling besar sudah tentu menepati kriteria ditetapkan stesen penyiaran. Setakat ini, saya masih belajar untuk mendalami lagi bidang penerbitan," katanya.

Tambah Aida, tawaran berlakon filem masih ada tetapi masanya tidak sesuai kerana selalu bertembung dengan jadual kerja lain.

Beralih kepada perkembangan lain, selepas percintaannya dengan Zul Handy Black berakhir, dia sudah mendapat pengganti untuk mengisi ruang hatinya yang sepi.

"Antara saya dengan Zul, kami membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan kami berpisah secara baik. Buat masa ini, saya baru mengenali hati budi seorang kenalan baru. Soal jodoh terserah pada Allah," katanya.

"Saya sentiasa harap lakonan saya semakin baik dari semasa ke semasa.

"Paling penting, saya dapat membantu menghasilkan drama berkualiti dan diterima baik masyarakat," katanya.

PROFIL

NAMA: Siti Rohaida Mat Aris
NAMA PENTAS: Aida Aris
TEMPAT LAHIR: Jurong, Singapura
KARIER: Pelakon/Produser
MINAT: Badminton dan Pool
PRODUKSI: Cintakasih Produtions Sdn Bhd
DRAMA
# Inai Malam
# Obsessi
# Mersing To Manchester
# Jangan Tegur
# Budak KL
# Awan Dania
TELEFILEM/CEREKARAMA
# Tercipta Untukmu
# Suram Seri Pengantin
FILEM
# Black Maria (2003)
# Kembara (1998)
# Suratan Kasih (1996)
# Debu-Debu Kasih (1995)

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah