Awasi Kod Haram Untuk Pengguna Islam

Firman Allah yang bermaksud: Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesunguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Sejak akhir-akhir ini, begitu banyak e-mel dan mesej yang kita terima mengenai kod-kod makanan yang haram untuk pengguna Islam. Kod-kod yang didakwa mengandungi unsur dari babi ini juga terdapat dalam produk kosmetik yang sering digunakan oleh wanita.

E-mel yang menyenaraikan banyak kod E ini tersebar luas di kalangan pengguna internet sehingga menimbulkan kemusykilan terhadap banyak pihak tentang penggunaan barangan terhadap produk yang mengandungi kod tersebut.

Justeru MW cuba merungkai isu ‘kod babi’ yang telah disebarkan. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai prosedur halal serta mengetahui sejauh mana kebenaran kod babi yang tersebar luas di internet, Mingguan Wanita menemu bual Pengurus Besar Jabatan Pensijilan, Halal Industry Development Corporation (HDC) Sdn Bhd, Zainal Abidin Jaffar.

Menurut Zainal, pengeluaran Sijil Pengesahan Halal tertakluk kepada pematuhan terhadap Malaysian Standard (MS) 1500 : 2004 Makanan Halal- Pengeluaran, Pengendalian dan Penyimpanan, Garis Panduan Umum (Semakan Pertama) dan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

“Terdapat tiga jenis kategori pengesahan halal iaitu produk makanan dan barang gunaan Islam, premis makanan dan rumah sembelih. Prosedur untuk mendapatkan sijil halal sangat ketat memandangkan pihak HDC memegang amanah besar dalam agama iaitu memastikan kesemua produk atau premis benar-benar mematuhi syarat halal yang ditetapkan.

“Lantaran itu, orang ramai tidak perlu raguragu menggunakan produk yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia kerana ia disahkan mematuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan,”ujarnya. Diminta mengulas mengenai kod makanan dan produk yang mengandungi babi, Zainal mengatakan ramai orang yang keliru dengan penggunaan perkataan E. Ada pihak mengatakan kesemua kandungan yang bermula dengan perkataan E mempunyai unsur babi sedangkan perkara ini tidak benar sama sekali.

“Perkataan E sebenarnya merujuk kepada Persatuan Negara Eropah (EU). Ia adalah kod untuk campuran makanan yang selalunya digunakan oleh Persatuan Negara Eropah. Walaupun begitu, pihak HDC sentiasa membuat ujian makmal mengenai produk-produk yang terdapat di pasaran.

“Tidak dinafikan ada produk yang mengandungi babi. Hasil ujian yang dilakukan, pihak kami meminta umat Islam berhati-hati terhadap produk makanan yang menggunakan kod E 471 hingga E 495.

“Kandungan makanan dalam kod-kod ini mengandungi bahan berasas tumbuhtumbuhan dan binatang yang kemungkinan besar adalah dari babi. Sejak dahulu lagi, babi digunakan secara meluas kerana kos yang murah, setiap anggota tubuh binatang ini mempunyai kegunaan tersendiri dan produk ini dikeluarkan oleh pihak mereka.

“Namun kini, sudah ramai saintis yang menemui bahan alternatif selain menggunakan babi. Contohnya jika dulu gelatin hanya berasaskan babi tetapi hari ini ramai yang mula menggunakan gelatin berasas tumbuhan dan lembu. “Tiada perkara yang mustahil, kerana itu, saya menyeru agar saintis muslim di luar sana agar lebih banyak membuat kajian mencari bahan alternatif bagi menggantikan penggunaan babi dalam penghasilan sesuatu produk,” kata Zainal.

Kebimbangan berasas

Dalam pada itu Zainal juga menasihati orang ramai agar rasional dan perlu mempunyai kebimbangan yang berasas. Katanya, kebanyakan produk dalam dan luar negara pada hari ini peka dengan sensitiviti umat Islam dan mereka menggunakan bahan alternatif lain yang selamat digunakan umat Islam dan memenuhi syarat halal.

“Pun begitu, saya menyeru orang ramai memilih produk yang menggunakan sijil dan logo Halal yang dikeluarkan oleh HDD dan JAKIM (sebelum ini). Ini kerana segala kandungan produk yang diiktiraf sijil dan logo Halal oleh Malaysia disahkan halal dan selamat digunakan.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah