Aida Aris sudah ada pengganti isi hati



SEPANJANG 18 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Aida Aris, 38, bekerja dengan ramai pengarah handalan dan berpengalaman berlakon dengan ramai pelakon yang menang pelbagai anugerah seni.

Kini, pelakon itu mahu membuktikan kemampuannya sebagai penerbit drama pula menerusi syarikat produksinya sendiri, Cintakasih Productions Sdn Bhd.

Dia akan menggunakan pengalamannya yang pernah membawakan pelbagai watak dalam drama dan filem lakonannya untuk duduk di kerusi penerbit pula. Ia juga sebagai persediaan masa depannya jika tidak diperlukan lagi dalam bidang lakonan.

Dalam diam, Cintakasih Productions sudah menerbitkan dua telefilem dan satu cerekarama. Telefilem pertama terbitannya, Tercipta Untukmu disiarkan di Astro Prima dan Suram Seri Pengantin mengisi slot cerekarama TV3.

Menerusi telefilem terbaru berjudul Melankolia, Aida memegang watak Rozita iaitu isteri kepada Eizlan Yusof yang mengalami tekanan mental apabila anak mereka diculik. Telefilem itu akan menemui penonton TV1, pada pertengahan Ogos ini.

Dia juga bakal ke lokasi drama seram arahan Ahmad Idham berjudul Durja Ningsun. Drama 13 episod itu terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd. Penggambaran drama itu bermula hari ini yang mengambil masa 35 hari, dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.

"Berlakon dalam drama seram memberi peluang kepada saya mengembangkan bakat dan belajar teknik baru di lokasi penggambaran. Saya tidak takut kerana pernah berlakon dalam drama seram sebelum ini," katanya.

Bercakap mengenai Cintakasih Production, katanya, dia akan berusaha mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jaminan masa depan. Semakin meningkat usia, banyak perkara yang difikirkannya termasuk mengenai kerjaya lakonannya sekarang. Entah berapa lama lagi dia akan berlakon.

"Sudah tiba masanya saya perlu menyediakan platform baru untuk mempelbagaikan cabang kerjaya. Sebab itu, saya cuba nasib menerbitkan drama pula. Pun begitu, antara berlakon dan menjadi penerbit cabarannya berbeza.

"Sebagai pelakon, saya tengok segalanya kelihatan mudah. Baca skrip, kemudian ke lokasi dan terima bayaran. Tidak perlu fikir mengenai perkara selanjutnya kerana kerja akhir adalah tanggungjawab pengarah dan penerbit.

"Bagaimanapun, apabila ada syarikat sendiri, baru saya tahu cabaran sebagai penerbit. Jika sebelum ini, saya tidak pernah ambil kisah kerenah pelakon lain di lokasi, sekarang saya kena tahu apa yang berlaku di lokasi. Apa jua masalah yang timbul saya kena selesaikan.

"Segala-galanya perlu dirancang dengan baik. Kesilapan penggambaran atau teknikal perlu dikurangkan untuk mengurangkan kos. Cabaran paling besar sudah tentu menepati kriteria ditetapkan stesen penyiaran. Setakat ini, saya masih belajar untuk mendalami lagi bidang penerbitan," katanya.

Tambah Aida, tawaran berlakon filem masih ada tetapi masanya tidak sesuai kerana selalu bertembung dengan jadual kerja lain.

Beralih kepada perkembangan lain, selepas percintaannya dengan Zul Handy Black berakhir, dia sudah mendapat pengganti untuk mengisi ruang hatinya yang sepi.

"Antara saya dengan Zul, kami membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan kami berpisah secara baik. Buat masa ini, saya baru mengenali hati budi seorang kenalan baru. Soal jodoh terserah pada Allah," katanya.

"Saya sentiasa harap lakonan saya semakin baik dari semasa ke semasa.

"Paling penting, saya dapat membantu menghasilkan drama berkualiti dan diterima baik masyarakat," katanya.

PROFIL

NAMA: Siti Rohaida Mat Aris
NAMA PENTAS: Aida Aris
TEMPAT LAHIR: Jurong, Singapura
KARIER: Pelakon/Produser
MINAT: Badminton dan Pool
PRODUKSI: Cintakasih Produtions Sdn Bhd
DRAMA
# Inai Malam
# Obsessi
# Mersing To Manchester
# Jangan Tegur
# Budak KL
# Awan Dania
TELEFILEM/CEREKARAMA
# Tercipta Untukmu
# Suram Seri Pengantin
FILEM
# Black Maria (2003)
# Kembara (1998)
# Suratan Kasih (1996)
# Debu-Debu Kasih (1995)

Ingin anak kembar?



SECARA amnya, kehamilan kembar berlaku satu dalam setiap 80 wanita. Cuma, kini peratusannya bertambah akibat penggunaan ubat kesuburan dalam rawatan kesuburan, terutamanya kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).

Tanpa sejarah keluarga, kehamilan kembar lebih kerap berlaku di kalangan golongan usia lebih meningkat (40 tahun ke atas) terutamanya kembar tidak seiras. Dengan pengambilan ubat subur, kehamilan kembar boleh berlaku pada mana-mana wanita.

Prinsip rawatan ubat kesuburan adalah untuk merangsang pembesaran satu atau lebih telur matang yang berpotensi untuk disenyawakan.

Clomid atau mana-mana pil lain yang mengandungi bahan clomiphene citrate boleh memberikan kesan sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak dapat mengehadkan bilangan telur seperti yang dikehendaki dan kesannya tidak sama untuk semua wanita.

Ini bermakna, seseorang yang mengambil pil mengandungi clomiphene citrate berdos tertentu boleh mengalami kesan sama ada mempunyai satu, dua, tiga, atau lebih telur matang, malah sebaliknya mungkin juga tiada langsung telur matang.

Ini dapat diketahui menggunakan pemantauan secara ultrabunyi transvaginal. Jika berlebihan telur matang dihasilkan, seseorang mempunyai risiko kehamilan kembar (serendah atau setinggi mungkin bergantung kepada bilangan telur terbabit).



Ini bermakna, sekiranya anda berhasrat untuk mengambil pil berkenaan, anda haruslah bersedia untuk menghadapi kemungkinan hamil seorang atau hamil kembar dua, tiga, empat atau lebih.

Kita sedia mengetahui akan risiko kehamilan kembar terhadap ibu (penyakit darah tinggi, uri bawah, kontraksi pramatang, pembedahan Caesarean, tumpah darah dan seumpamanya) dan terhadap bayinya (masalah berkaitan kelahiran pramatang mislnya berat lahir tidak mencukupi, kemasukan ke unit rawatan rapi, bantuan pernafasan, masalah penglihatan dan seumpamanya).

Senario yang sama juga ada dilihat di dalam kaedah IVF. Semakin banyak embrio dimasukkan, peluang kehamilan semakin meningkat, tetapi ia juga bermakna risiko kehamilan kembar (dua, tiga atau selebihnya) juga semakin meningkat.

Keghairahan untuk mendapatkan kejayaan kehamilan juga mendorong sesetengah wanita untuk memberikan ubat kesuburan (lazimnya suntikan) secara berlebihan dosnya walaupun menyedari ia berpotensi mendedahkan wanita untuk mengalami sindrom OHSS peringkat teruk.

OHSS ialah sindrom hiper-stimulasi ovari yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti pembekuan darah dan maut. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam rawatan kesuburan.


Kebanyakan negara di Eropah mengehadkan kemasukan embrio kepada dua sahaja (malah ada yang mengehadkan kepada satu embrio sahaja dalam keadaan tertentu) untuk mengurangkan risiko kehamilan kembar.

Bagi anda, tanpa IVF, bilangan embrio yang mungkin terbentuk di dalam tiub fallopio tidak dapat dikawal.

Berbuat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali

DARIPADA Abdullah, katanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah sedangkan Allah marah kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manusia, apapun perbuatannya pasti akan bertemu dengan Allah. Perjalanan menuju Allah, bukanlah perjalanan biasa kerana memerlukan persiapan dan bekalan yang cukup.
Manusia yang baik amalannya akan menemui Allah dalam keadaan cukup selesa dan bahagia. Sebaliknya, orang yang buruk amalan ketika di dunia bakal menemui Allah dengan perasaan gerun dan takut. Sesungguhnya Allah murka terhadap sesiapa saja yang melakukan dosa dan kejahatan kerana ia adalah perbuatan yang melambangkan penentangan terhadap perintah-Nya.

Justeru, tidakkah kita merasa malu jika di akhirat kelak kita datang menghadap Tuhan tetapi dalam keadaan diri bergelumang dosa dan kehinaan. Maka untuk mengelaknya, jadikanlah hidup kita bermakna di dunia dan bererti di akhirat. Kita harap untuk bertemu Allah di syurga sebagai balasan daripada hidup bermanfaat di dunia.

Kenali perut anda !

PERUT adalah pusat kebanyakan penyakit. Pakar perubatan sependapat mengatakan ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengawal makan. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap penyakit disebabkan oleh banyak makanan dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan.”

Sememangnya terlalu banyak makan boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti sakit perut, kembung, sembelit, rasa mual, muntah atau cirit birit. Kesemuanya ini berpunca daripada makan dan tabiat makan kita. Sindrom Usus Rengsa ini menandakan berlaku ketidakseimbangan organisasi dalam usus kita.

Ada 10 simptom yang perlu diingat kerana ia menandakan kita mengalami masalah pencernaan (aktiviti enzim) iaitu:

*Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa)
*Kembung
*Cepat penat
*Mudah berparut
*Keradangan kulit
*Berat badan bertambah dengan cepat
*Sering sendawa
*Pedih ulu hati
*Makanan tidak hadam
*Keradangan lain

Antara cara yang boleh diamalkan untuk menggalakkan kesihatan saluran pencernaan kita ialah:

Jangan makan terlalu banyak. Walaupun sudah jadi budaya kita untuk makan setiap kali keluar atau berjumpa kawan, kawallah makanan yang masuk ke dalam perut.

Kunyah makanan hingga betul-betul lumat. Kunyah makanan perlahan-lahan (sekurang-kurangnya 30 kali, dan ada hadis yang menyarankan 44 kali kunyah) sebelum makanan ditelan. Ada rahsia di sebalik saranan ini kerana makanan yang dikunyah hancur mengandungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia sebenarnya memudahkan proses pencernaan.

Minum sebelum atau selepas makan. Elakkan minum ketika makan kerana ia akan mencairkan enzim pencernaan dalam perut. Proses pencernaan akan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut yang berasid. Jika terpaksa, minumlah dalam tegukan yang kecil tetapi elakkan minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana menghalang pencernaan. Sebaiknya minum 10 minit sebelum makan atau sekurang-kurangnya sejam selepas makan.

Amalkan jadual ke tandas yang tetap setiap hari. Ia secara tidak langsung memberi laluan kepada badan menyingkirkan bahan toksin secara berkala dan memperbaiki persekitaran usus.

Makan lebih banyak sayur-sayuran mentah (termasuk ulam dan salad) serta buah-buahan kerana ia mengandungi banyak bahan yang boleh melancarkan proses pencernaan.

Minum air secukupnya. Air menjadi bahan pengantara yang terbaik dalam badan. Badan yang tidak cukup air secara automatik akan merangsang fungsi enzim dan mengganggu proses penghadaman. Malah anda lebih sukar ke tandas jika tidak cukup air, walaupun banyak makan sayur-sayuran atau buah-buahan.

Bersenam selalu. Senaman boleh merangsang badan mencapai fungsi sebenar dan menggalakkan proses pencernaan.

Elakkan diri daripada tekanan. Tekanan akan merangsang enzim untuk menjalankan semua fungsi metabolik dan jika ia berterusan, boleh mendatangkan masalah kepada badan.

Makan produk tenusu kultur (contohnya dadih dan keju) atau probiotik kultur tempatan.

Kenal Melalui Facebook, Harith Iskandar Sah Kahwini Jezamine



Sekian lama membujang, kini pengarah, pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Harith Iskander Musa sah bergelar suami kepada doktor dan model sambilan, Jezamine Lim selesai majlis pernikahan kedua mempelai di Kota Damansara, di sini hari ini.

Hanya dengan sekali lafaz, Harith Iskander, 44, dan gadis berdarah kacukan Cina dan India, Jezamine, 27, yang baru memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Shah Alam, Selangor, 12 Mei lalu berjaya disatukan walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga masing-masing.

Dalam majlis serba ringkas itu, pihak lelaki memberikan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin Carat Club serta wang hantaran sebanyak RM50,000.

Harith yang diapit sahabat baiknya, Hans Isaac turut menyerahkan tujuh dulang hantaran termasuk sirih junjung, senaskhah al-Quran dan satu persalinan kain kepada pihak perempuan.



Manakala pengantin perempuan membalas sembilan dulang hantaran antaranya tali leher Louis Vuitton, kasut Valentino, set wangian Dunhill, buah-buahan dan manisan Paatchi Chocolate.



Sementara itu, Harith memberitahu pemberita, sepanjang majlis berlangsung dia terkenangkan arwah kedua ibu bapanya yang baru sahaja meninggal dunia bermula bapanya, Musa Mohamad meninggal dunia pada usia 78 tahun pada 26 Februari diikuti ibunya, Farida Jane Musa, 83, tiga minggu kemudian.

“Saya dapat rasakan kehadiran mereka. Hari lahir ibu dan bapa kebetulan jatuh pada bulan ini dan kami memilih hari ini bagi memperingati mereka,” ujarnya.

Jezamine pula terpaksa mengharungi tentangan keluarga apabila menetapkan hati dan fikirannya untuk mengahwini Harith serta menjadi saudara baru Islam.

“Saya percaya ini merupakan cabaran untuk menguji sekuat mana kasih sayang kami.

“Yang penting, kami tidak akan berputus asa kerana tidak ada apa yang sempurna dalam dunia ini, walaupun pada mulanya tidak direstui tapi lama-kelamaan pasti mereka berlembut,” kata Jezamine yakin.

Harith dan Jezamine bertunang tanpa sebarang majlis rasmi pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas berkenalan menerusi Facebook, bertukar-tukar SMS dan berpacaran hampir setahun lamanya.

Disebabkan kepadatan jadual, Harith yang sepatutnya mula latihan bagi teater Cuci The Musical 2 Julai depan itu juga mengakui terpaksa menangguhkan percutian bulan madu sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, kira-kira 100 tetamu yang hadir dijamu hidangan tajaan restoran milik pasangan mempelai, Samsaraa. Restoran itu terletak di No. 11, Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas Kuala Lumpur.

“Sebelum meninggal dunia, ibu sempat berpesan bahawa dia akan ‘berpihak’ kepada Jezamine kerana dia terlalu sayang padanya.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah