Ingin anak kembar?



SECARA amnya, kehamilan kembar berlaku satu dalam setiap 80 wanita. Cuma, kini peratusannya bertambah akibat penggunaan ubat kesuburan dalam rawatan kesuburan, terutamanya kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).

Tanpa sejarah keluarga, kehamilan kembar lebih kerap berlaku di kalangan golongan usia lebih meningkat (40 tahun ke atas) terutamanya kembar tidak seiras. Dengan pengambilan ubat subur, kehamilan kembar boleh berlaku pada mana-mana wanita.

Prinsip rawatan ubat kesuburan adalah untuk merangsang pembesaran satu atau lebih telur matang yang berpotensi untuk disenyawakan.

Clomid atau mana-mana pil lain yang mengandungi bahan clomiphene citrate boleh memberikan kesan sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak dapat mengehadkan bilangan telur seperti yang dikehendaki dan kesannya tidak sama untuk semua wanita.

Ini bermakna, seseorang yang mengambil pil mengandungi clomiphene citrate berdos tertentu boleh mengalami kesan sama ada mempunyai satu, dua, tiga, atau lebih telur matang, malah sebaliknya mungkin juga tiada langsung telur matang.

Ini dapat diketahui menggunakan pemantauan secara ultrabunyi transvaginal. Jika berlebihan telur matang dihasilkan, seseorang mempunyai risiko kehamilan kembar (serendah atau setinggi mungkin bergantung kepada bilangan telur terbabit).



Ini bermakna, sekiranya anda berhasrat untuk mengambil pil berkenaan, anda haruslah bersedia untuk menghadapi kemungkinan hamil seorang atau hamil kembar dua, tiga, empat atau lebih.

Kita sedia mengetahui akan risiko kehamilan kembar terhadap ibu (penyakit darah tinggi, uri bawah, kontraksi pramatang, pembedahan Caesarean, tumpah darah dan seumpamanya) dan terhadap bayinya (masalah berkaitan kelahiran pramatang mislnya berat lahir tidak mencukupi, kemasukan ke unit rawatan rapi, bantuan pernafasan, masalah penglihatan dan seumpamanya).

Senario yang sama juga ada dilihat di dalam kaedah IVF. Semakin banyak embrio dimasukkan, peluang kehamilan semakin meningkat, tetapi ia juga bermakna risiko kehamilan kembar (dua, tiga atau selebihnya) juga semakin meningkat.

Keghairahan untuk mendapatkan kejayaan kehamilan juga mendorong sesetengah wanita untuk memberikan ubat kesuburan (lazimnya suntikan) secara berlebihan dosnya walaupun menyedari ia berpotensi mendedahkan wanita untuk mengalami sindrom OHSS peringkat teruk.

OHSS ialah sindrom hiper-stimulasi ovari yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti pembekuan darah dan maut. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam rawatan kesuburan.


Kebanyakan negara di Eropah mengehadkan kemasukan embrio kepada dua sahaja (malah ada yang mengehadkan kepada satu embrio sahaja dalam keadaan tertentu) untuk mengurangkan risiko kehamilan kembar.

Bagi anda, tanpa IVF, bilangan embrio yang mungkin terbentuk di dalam tiub fallopio tidak dapat dikawal.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah