Jom kenali Pulau Langkawi



SEBELUM 1980-an, ada orang mengatakan bahawa di Pulau Langkawi, kerbau lebih banyak daripada manusia, tetapi kini pulau yang dikaitkan dengan legenda Mahsuri itu menjadi salah satu destinasi pelancongan yang bukan sahaja terkenal dalam negara malah menjadi tumpuan pelancong asing.



Setiap tahun ribuan pelancong asing mengunjungi pulau itu yang cukup terkenal dengan kisah sumpahan Mahsuri yang menyatakan bahawa Pulau Langkawi tidak akan tenteram dan aman serta menjadi ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.



Namun segalanya berubah pada tahun 1987, apabila Tun Dr.Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai. Sejak itu bermulalah era kemakmuran pulau tersebut, biar pun ada yang mengaitkan bahawa sumpah Mahsuri sudah berakhir.



Dari semasa ke semasa, Pulau Langkawi terus menjadi terkenal dan ia mengecapi pembangunan yang cukup menakjubkan. Oleh itu tidak hairanlah, apabila musim cuti sekolah pulau itu menjadi tumpuan. Hotel-hotel akan penuh sesak dan semua kawasan di situ menjadi tumpuan pelancong.



Perjalanan bagi menikmati ketenangan di Pulau Langkawi sudah pasti bermula bagi mereka yang menaiki feri dari Kuala Kedah kerana sepanjang perjalanan mereka boleh menikmati keindahan pulau-pulau dan ketekunan nelayan mencari rezeki di tengah lautan.



Keramahan dan senyuman yang menyambut para pelancong di jeti Pulau Langkawi pula memberi jaminan bahawa anda akan sentiasa ceria sepanjang berada di pulau legenda tersebut.

Pulau Langkawi mempunyai segala-galanya, daripada membeli barangan di kawasan bebas cukai hinggalah kepada keindahan alam semula jadi. Turut menanti para pelancong ialah aktiviti menyelam dan menguji ketahanan mental menaiki kereta kabel yang menghubungkan Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang sepanjang 2.2 kilometer.

Sudah pastilah sesuai dengan status pulaunya, Langkawi sememangnya mempunyai pantai yang bersih dan indah. Kawasan pantai yang paling popular ialah Pantai Cenang. Ia dianggap 'Bali kedua' berikutan suasananya yang menyerupai keadaan di Nusa, Bali.

Di Pantai Cenang, selain bersantai di persisiran pantai dan menikmati keindahan alam ketika matahari terbenam, ia juga menjadi lokasi untuk pelancong membeli cenderahati dan menikmati pelbagai jenis makanan.



Sebut apa sahaja yang mahu anda jamah, semua ada di Pantai Cenang, dari makanan tempatan hinggalah kepada hidangan barat, segala ada di situ. Nama-nama restoran dan kafe seperti Telaga Arab, Palace D' India, Melati Cafe dan beberapa nama lain sememangnya cukup popular di kalangan pelancong.

Pendek kata, di Pantai Cenang apa juga makanan yang anda idamkan pasti boleh diperolehi di situ. Begitu juga dengan hotel dan calet yang di kawasan tersebut. Ia sering menjadi 'rebutan' ramai kerana keindahan dan keselesaannya. Selain berkonsepkan calet seperti mana ditawarkan oleh Malibest Resort, terdapat juga hotel-hotel kecil yang mampu memberikan keselesaan dan ketenangan kepada pengunjung.




Bersejarah

Namun begitu, sesiapa juga yang mengunjungi Langkawi tidak harus melepaskan peluang untuk singgah atau melawat beberapa tempat bersejarahnya seperti makam Mahsuri, telaga tujuh, pantai pasir hitam dan beras terbakar.

Selain itu, nikmatilah juga pemandangan indah suasana kampung di Pulau Langkawi terutamanya sawah padi. Semua itu mampu memberikan percutian anda penuh dengan ketenangan.



Apa pun ketika melawat pulau itu baru- baru ini, biarpun bangga dengan keindahan dan kecantikannya namun penulis sedikit gelisah melihat 'wajah tersembunyi' Pulau Langkawi yang jika tidak diberi perhatian mampu menjejaskan imej pulau tersebut.

Ia termasuklah soal kebersihan dan penjagaan landskap yang dari semasa ke semasa seolah-olah semakin dilupakan. Lihat sahaja suasana menuju ke pekan Kuah, pinggir-pinggir jalan 'dihiasi' dengan landskap yang tidak terurus. Lebih menyakitkan mata memandang terdapat pula bangunan-bangunan terbengkalai.

Tidak kiralah apa pun yang menyebabkan keadaan itu berlaku tetapi ia seharusnya dipandang serius oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Keindahan dan kemasyhuran Langkawi tidak harus dicacatkan dengan pemandangan seumpama itu.

Pihak yang bertanggungjawab harus memainkan peranan aktif bagi memastikan Langkawi terus bersih dan indah kerana ia menjadi tumpuan masyarakat dunia.

anda mungkin juga meminati


Get this widget here

Klik pada older post

untuk ke muka sebelah